Friday, 25 November 2016

Mencuri Di Pasar Raya, Kanak-Kanak Dibelasah & Dibakar Sampai Mati


LAGOS, NIGERIA - Seorang kanak-kanak lelaki mati dibakar secara hidup selepas ditangkap mencuri di sebuah pasar raya, di Nigeria. 

Dalam kejadian yang berlaku pada pertengahan November lalu, kanak-kanak berusia lingkungan 7-15 tahun itu ditangkap mencuri makanan di sebuah pasar raya dan pernah melakukan perbuatan yang sama di premis ini beberapa kali sebelum ini. 

Kanak-kanak yang tidak diketahui identiti itu juga didakwa pernah menyamun beberapa rumah penduduk dan premis perniagaan tempatan, malah pernah mengugut bunuh mangsanya kemudian dibelasah sekumpulan orang ramai di jalan raya di daerah Badagry, Lagos, selatan barat Nigeria. 

Video menunjukkan kanak-kanak lelaki itu berdarah di bahagian muka, kakinya diikat dan mengangkat tangan merayu agar orang ramai berhenti memukulnya. Namun, rayuannya itu tidak diendahkan, malah keadaan menjadi semakin buruk. 

Terdahulu, beberapa orang awam menyarankan kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang, namun kumpulan berkenaan tidak endah dengan saranan itu dan terus membelasah mangsa.


Tayar kenderaan yang berisi cecair mudah terbakar juga diletakkan di lehernya yang kemudian dinyalakan dengan api menyebabkan mangsa terbakar. Mangsa berjaya membuang tayar itu dari lehernya, bagaimanapun sudah terlambat dan mangsa terbakar sehingga mati. - The Reporter

(Video) Pemilik Kedai Halang 2 Suspek Samun Kedai, Namun Gagal


JOHOR BAHRU - Video dua lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai runcit pada Rabu lalu, viral di media sosial. 

Dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Melayu Majidee itu, pemilik kedai runcit dilihat cuba mempertahankan kedainya daripada disamun oleh dua suspek yang bersenjatakan parang. 

Kejadian itu bermula apabila suspek berjaket biru menyerbu masuk ke kedai dan menjatuhkan barang membuatkan beberapa pelanggan yang lain lari ketakutan. 

Rakan suspek berjaket hitam turut serta tidak beberapa lama kemudian dan mula menyerang mangsa dan memaksanya menyerahkan wang. Malangnya, mangsa enggan menuruti permintaan mereka lalu menolak badan salah seorang suspek. 

Berang dengan tindakannya itu, mereka terus melibas mangsa dengan parang beberapa kali dan mangsa cuba mengelak dan menepis libasan parang itu dengan tangan.  

Dalam kesempatan itu, suspek berjaket hitam masuk ke bahagian kaunter dan mengambil sejumlah wang yang ada masuk ke dalam poket seluarnya.


Mangsa berhenti melawan apabila menyedari dirinya mengalami pendarahan di bahagian tangan dan kepala akibat ditetak suspek berjaket biru serta terpaksa membiarkan dua suspek itu menyamun kedainya sebelum berlalu pergi.

Sementara itu, netizen kagum dengan keberanian pemilik kedai itu mempertahankan kedainya walaupun tindakan itu amat berbahaya. - The Reporter

Tanah Runtuh Serendah: 'Satu Persatu Kereta Ditelan Bumi' - Saksi


HULU SELANGOR - "Saya baru saja menutup gerai sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat. Terkejut saya menyaksikan kereta jatuh satu persatu bagi ditelan bumi," kata Normah Ninggal, 48, yang menjadi saksi kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, awal pagi tadi. 

Ketika kejadian jam 1 pagi, Normah baru saja selesai berniaga dan sedang mengemas di hadapan rumah yang terletak bersebelahan gerainya itu. 

"Saya panggil anak-anak yang berada di gelanggang sepak takraw di sebelah rumah untuk masuk. Tak sampai seminit, tanah di belakang rumah runtuh, pokok bergoyang dan kereta berpusing," katanya. 

Kejadian itu amat menakutkan kerana tiada tanda-tanda jalan atau tanah di kawasan itu retak, katanya. 

Lapor Harian Metro, dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal, Mohd Fareez, 21, dilaporkan patah kaki dan tangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya. 

Mangsa tertimbus dalam runtuhan berkenaan, namun berjaya diselamatkan penduduk berhampiran yang menyedari insiden itu. 

Pihak bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 1.02 pagi, tiba di lokasi 16 minit kemudian. 

Sebagai langkah keselamatan, semua penduduk berhampiran kawasan kejadian seluas 1.2 hektar telah diarahkan berpindah buat sementara waktu.







Operasi mencari dan menyelamat juga telah dijalankan bermula jam 6.45 pagi dan selepas usaha pencarian dijalankan lebih dari sejam, tiada mangsa yang ditemui.

Lapor Astro Awani, sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk taman itu turut tertimbus dalam runtuhan itu. Runtuhan sepanjang hampir 100 meteri dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong itu juga turut meranapkan tujuh unit kedai. 

Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) masih meneruskan pemantauan untuk melihat sama ada masih berlaku pergerakan tanah di kawasan itu. - The Reporter

Badan Hancur, Kepala Putus Digilis Kereta Api


MERAPOH - Seorang lelaki maut akibat dilanggar dan digilis kereta api di kilometer 260 berhampiran Kampung Paya Keladi, Chegar Perah, hari ini. 

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa dianggarkan berusia 30 - 40 tahun itu ditemui dalam keadaan kepalanya terputus dan badannya hancur digilis kereta api. 

Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM), Zulhelmi Mohamad, 50, yang dalam perjalanan ke dari Kuala Lipis ke Kelantan memaklumkan kepada Bilik Gerakan KTMB bahawa dia terlanggar seseorang dan sepasukan kakitangan KTMB bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan. 

"Sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa dalam keadaan yang mengerikan. Bagaimanapun identitinya masih belum diketahui. 

"Pihak polis terpaksa mengambil sedikit masa bagi mengutip cebisan mayat sebelum dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat," katanya. 




Justeru, orang ramai yang ada kehilangan keluarga diminta tampil bagi membantu proses pengecaman mayat. - The Reporter

Israel Terima Tawaran Palestin Untuk Hantar Bantuan Padamkan Kebakaran

Sebuah pesawat memadam kebakaran dari Greece | Foto - Ariel Schalit
HAIFA - Israel telah menerima tawaran pihak berkuasa Palestin untuk menghantar empat pasukan bombanya dalam usaha membantu memadam kebakaran di seluruh tanah haram Israel itu, kata pegawai kanan kerajaannya semalam, lapor Haaretz.  

Pegawai itu berkata, Penyelaras Aktiviti Kerajaan di wilayah menyelia kerjasama di antara Palestin dan anggota bomba Israel. 

Sekurang-kurangnya 130 orang cedera dalam kebakaran besar itu yang kebanyakannya akibat terhidu asap. Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan serius dan mengancam nyawa. 

Rusia, Turki, Greece, Italy, Croatia dan Cyprus Khamis lalu telah bersetuju untuk menghantar sejumlah 10 buah pesawat ke Israel untuk membantu memadam kebakaran itu.

Terdahulu, empat warga Arab di Jerusalem telah ditahan pada pagi semalam kerana dipercayai dalang bencana itu. Bagaimanapun, suspek dibebaskan setelah pihak Mahkamah Israel kekurangan bukti untuk membuat pendakwaan.  - The Reporter

Thursday, 24 November 2016

Kabinet Putuskan Harimau Malaysia Kekal Tanding Piala AFF


PUTRAJAYA - Setelah menerima desakan dari pelbagai pihak, Kabinet akhirnya membuat keputusan skuad Harimau Malaysia akan terus bersaing dalam saingan bola sepak Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar, Sabtu itu, lapor Berita Harian

Keputusan Kabinet itu diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, jam 1 tengah hari tadi. 

"Kabinet sudah berbincang mengenai isu Myanmar membabitkan etnik Rohingya dan membuat keputusan untuk terus selesaikan perlawanan di Myanmar. Tindakan diplomatik seterusnya akan dibuat selepas ini," katanya. 

Terdahulu, ramai yang mendesak skuad Harimau Malaysia menarik diri sebagai tanda protes pada kekejaman Myanmar terhadap penghapusan etnik Rohingya di negara itu. 

Namun, FAM semalam menegaskan (FAM Takkan Tarik Diri) bahawa pihaknya tidak akan menarik diri kerana sukan bola sepak adalah berkecuali dari politik, agama dan semua aspek. - The Reporter

'Mana Upin Ipin?' - Penonton Cilik

KUALA LUMPUR - Filem animasi tempatan, Upin Ipin Jeng Jeng Jeng yang dilakonkan oleh Puteri Balqis, Awie, Sara Ali, Gambit, Remy Ishak dan termasuklah Asyiela Putri (suara Upin & Ipin) baru saja ditayangkan semalam. Namun sudah ada yang mengadu bahawa filem itu gagal memahami apa kehendak penonton ciliknya.

Baca luahan dari Alia Hayati yang baru saja menonton filem Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng semalam. 


Setelah dua tahun aku tak tengok wayang, hari ini aku jejak kembali ke panggung sebab anak aku, Mirza, tak pernah missed tengok Upin Ipin setiap hari di YouTube. 

Nak tunggu bayang Upin Ipin, kena tunggu lebih kurang 20 minit baru nampak bayang Upin Ipin. Korang tahu tak betapa susahnya nak tenangkan anak aku bila dia tanya, mana Upin Ipin? Aku dengar ramai anak-anak yang petah bertanya,

Mana Upin Ipin?

Filem ini sangat tak best? Apa mereka ingat anak aku kenal ke Awie itu siapa? David Teoh itu siapa? Aqish itu siapa? Yang anak aku nak tengok sekarang, Upin Ipin sahaja. 

Tak sampai satu jam, ramai mak bapak yang bawa anak mereka keluar sebab anak mengamuk tanya mana Upin Ipin. 

Siapa punya idealah buat filem ini. Korang patut faham apa yang anak aku nak tengok. Korang tahu tak yang tengok Upin Ipin ini umur dua tahun? Jadi diorang nak Upin Ipin saja. Awatlah hang tunjuk artis-artis yang tak paedah tu. 


Aku suggest, kalau korang ada anak baya aku, tak payah tengok sebab sangat-sangat berat untuk diorang faham. Aku takkan bagi bintang sebab filem ini tak buat anak aku happy. Filem s****h.  - Alia Hayati 

Demikian luahan seorang ibu yang telah membawa anak perempuannya menonton filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng di pawagam baru-baru ini. 

Luahannya itu juga telah dikongsi 2,074 perkongsian di Facebook dan 2,130 komen. 

Di laman Facebook rasmi Upin & Ipin pula menunjukkan, respon dari penonton memberikan 10 bintang. 

"Nak habaqlah, movie Upin Ipin ni cenggini (thumbsup). Siyes beb, hakak kata cite ni memang best dan tak bosan. Mak ayah dan anak-anak pun layan je cite Upin Ipin 'jengjengjeng' ni.

"Yang mana ada anak-anak itu, pergilah bawa cepat-cepat tengok movie #upinipinjengjengjeng ni. Hakak kasi 10 bintang," kata Siti Rahayu dalam screentshot yang dikongsi di Facebook Upin Ipin.


Apa pun, diharapkan pandangan dari ibu bapa ini diterima dengan hati terbuka untuk memperbaiki jalan cerita Upin & Ipin di masa akan datang.

Bagaimana dengan yang lain? Sudahkah anda menonton filem animasi Upin Ipin ini? Apa pandangan anda? - The Reporter