Wednesday, 23 November 2016

3 Rakan Serumah Terkejut, Tinggal Dengan Mayat Selama 2 Minggu

Suspek dan ibu mangsa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret tengah hari tadi | Foto - BERNAMA
SUNGAI PETANI - Penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang disembunyikan dalam tong ikan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu sejak dua minggu lalu, mengejutkan tiga penghuninya yang lain, lapor Berita Harian

Mohd Hisham Mohamad, 29, berkata, penemuan mayat mangsa itu juga menjawab misteri kehilangan tong ikan yang selama ini digunakannya untuk menadah air di tandas rumah tersebut. 

Menurut Hisham, rumah itu pada asalnya didiami bersama tiga penghuni lain sebelum suspek lelaki membawa pulang teman wanita bersama dua anaknya lebih kurang sebulan yang lalu. 

"Semenjak wanita itu tinggal di sini, kami bertiga jarang pulang ke rumah kerana kurang selesa dengan kehadirannya, lebih-lebih lagi rumah ini dihuni oleh lelaki bujang. 

"Selama wanita itu berada di sini, saya tak ada dengar sangat mereka bergaduh atau kanak-kanak itu dipukul kerana saya jarang berada di rumah. 

"Saya hanya perasan tong ikan yang selalu digunakan untuk menadah air, hilang. Bila saya tanya suspek, katanya dah beri pada orang. 

"Saya benar-benar terkejut apabila mendapat tahu bahawa tong ikan yang hilang itu ada di dalam biliknya dan berisi mayat anak teman wanitanya," katanya. 

Rumah sewa yang dihuni 4 lelaki bujang | Foto - Netizen
Jelas Hisham lagi, pada kejadian tengah malam tadi, wanita itu telah meminta bantuannya untuk membawa anak perempuannya yang tidak sedarkan diri ke hospital akibat dipukul oleh suspek. 

"Saya bergegas membawa mangsa ke rumah jiran untuk disembunyikan dan pada waktu itu jugalah dia memberitahu anak lelakinya sudah mati dan mayatnya disorok dalam tong ikan di dalam bilik," kata Hisham. 

Mendengar kejadian itu, jiran mereka segera menghubungi polis dan melaporkan kejadian itu. 

Suspek dan ibu mangsa telah ditahan pada jam 6 pagi tadi di kediaman berkenaan. Polis telah membawa kedua-dua suspek ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 12 tengah hari tadi untuk mendapatkan perintah reman selama 7 hari mulai hari ini. - The Reporter

Artikel berkaitan: 


EmoticonEmoticon