Tegakkan kepala dan jalan terus. Hari ini anak saya mendapat keputusan UPSRnya. Saya tidak bersamanya mengambil keputusan peperiksaannya itu kerana mempunyai urusan penting yang mendesak, lagipun dia bersekolah seperti biasa.
Saya tahu pada malam sebelum keputusan, dia sudah resah, gelisah dan rupanya sudah seperti ayam berak kapur. Saya menyatakan bahawa saya menerima apa sahaja keputusan sama ada lulus atau gagal dengan gembira, namun gelodak hatinya sendiri siapalah boleh menduga. Entah pukul berapalah dia tidur semalam. Saya tetap lena seperti biasa.
Sebelum keluar bekerja pagi tadi, saya menciumnya seperti biasa dan menyatakan tiada apa yang perlu dirisau. Kasih sayang kami ibu bapa tidak berubah dengan sebarang keputusan peperiksaannya. Dia hanya mengangguk.
Usai urusan di Shah Alam, saya pulang ke rumah. Kemudian saya telah pergi ke sekolah anak saya itu dalam diam. Ketika saya tiba, majlis penyampaian keputusan sudah berakhir dan semua murid sudah kembali ke kelas masing-masing. Saya berjumpa guru kelasnya dan berbual mengenai keputusan anak saya.
Tiada yang memeranjatkan saya kerana saya telah tahu keputusan peperiksaan anak saya itu seawal jam 10.20 pagi lagi melalui sms. Sekarang zaman teknologi, taip sahaja 'UPSR (jarak) nombor giliran peperiksaan dan hantar ke 15888. Tak sampai satu minit, keputusan sudah sampai ke genggaman dan dicaj 20 sen.
Semasa berbual dengan guru di sekolah anak saya itu, barulah saya tahu bahawa hanya terdapat seorang sahaja murid yang mendapat 6A dan 2 orang mendapat 5A 1B. Selainnya keputusan bercampur-campur termasuk anak saya, Luqman Hakim yang mendapat 1A 3B 2C. Saya juga tidak lupa berterima kasih kepada guru dan sekolah yang bertungkus lumus memandaikan anak saya. Terima kasih cikgu!
Terkejut? Sejujurnya saya tidak terkejut kerana saya tahu kemampuan anak saya. Tambahan pula saya tidak pernah menghantar anak saya menghadiri kelas tusyen. Bukan saya tak mampu tetapi saya tahu dia sudah kesuntukan masa dalam mengurus diri sendiri dan berlibur. Setiap hari persekolahan dia akan ke sekolah jam 7 pagi dan pulang jam 7.00 malam. Dua sesi persekolahan, sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Malamnya jam 8:30 malam, dia terpaksa membuat kerja sekolah atau latih tubi pula sehingga jam 10.00 malam. dan tidur. Begitulah kitaran hidup seorang kanak-kanak sekolah rendah. Penatnya!
Ketika saya pergi ke kelasnya tadi, saya nampak mukanya yang ketakutan. Sebelum sempat dia membuka mulut, saya terus memeluk dan mencium ubun-ubunnya. Dengan perlahan dia memberitahu keputusan peperiksaannya, saya cuma senyum dan mengucapkan syukur. Dia yang kelu dengan reaksi saya.
Rupanya, semasa majlis penyerahan keputusan, ada juga ibu bapa yang mendengus kasar melihat keputusan si anak. Keadaan ini membuat anak saya juga kecut perut terhadap penerimaan saya terhadap keputusan UPSRnya.
Di dalam kereta, saya berbual seolah-olah tiada apa yang mendukacitakan berlaku.
"Ayah tak marah?" soal Luqman. Saya senyum dan terus memandu.
"Tadi ayah tengok Luqman takut masa ayah sampai kenapa?" soal saya pula.
"Luqman takut ayah marah. Pastu takut ayah malu Luqman dapat keputusan tak bagus. Dapat keputusan tadi, Luqman dah nangis, tapi tak keluar air mata," jawab Luqman tulus. Saya ketawa.
"Kan ayah dah kata, ayah tahu Luqman dah cuba buat yang terbaik. Dah dapat keputusan begitu, ayah terima dan redha."
"Ayah tak pernah banding keputusan peperiksaan anak-anak ayah dengan sesiapa, biarpun dengan adik-beradik lain. Pencapaian seseorang itu berbeza Luqman, tetapi ayah yakin suatu hari nanti semua anak-anak ayah akan berjaya dalam hidup. Itu ayah tak pernah ragu," jelas saya.
Luqman terus memandang saya, diam.
"Luqman menangis takut ayah malu keputusan Luqman tak cemerlang ke? Atau takut ayah malu dengan keluarga kita yang lain dan kawan-kawan ayah?" soal saya. Dia angguk.
"Hahaha! Ayah tak pernah malu untuk anak-anak. Cikgu dan sekolah terpaksa nilaikan murid-murid dengan peperiksaan dan markah. Jadi mesti akan ada yang berjaya dan dapat nombor satu dan akan ada dapat nombor terakhir.
"Seorang ayah bukan nilaikan anaknya begitu. Dia memang nak anaknya cemerlang dan berjaya, tetapi jika belum diizinkan berjaya, seseorang ayah akan redha dan terus berdoa," terang saya panjang lebar.
Sebelah malam pulang dari kerja, saya singgah ke kedai kek. Saya sengaja belikan sebiji kek sebagai penghargaan dan ucapan tahniah diatas kejayaan pertamanya dalam rentetan ujian hidup. Kami makan kek dengan gembira.
"Luqman, ayah bangga dengan pencapaian Luqman hari ini. Teruskan usaha, insyaallah kejayaan lebih besar menanti.
"Ayah tidak pernah malu dengan Luqman dan anak-anak lain biar apapun pencapaian kalian. Jadi tegakkan kepala dan jalan terus. Ayah dan ummi akan membantu menyusun langkahmu. Kami sayang Luqman," - Izman Pauzi | The Reporter
EmoticonEmoticon