SHAANXI, CHINA - Sebuah kedai perabot di China telah memperkenalkan hukuman yang pelik untuk pekerjanya mempunyai prestasi kurang cemerlang dengan memaksa mereka makan ulat hidup.
Bukan itu sahaja, malah mereka perlu makan ulat itu di khalayak ramai, lapor People Daily China.
Pada jam 6.30, Selasa, 8 November lalu, kira-kira 50 orang yang memakai pakaian seragam kedai perabot itu berkumpul di dataran di pusat bandar wilayah Hanzhong, Shaanxi. Kemudian datang seorang lelaki dengan dua beg.
Beg pertama mengandung penyepit, cawan dan dua botol minuman keras, manakala beg kedua pula mengandungi ulat yang masih hidup.
Selepas membacakan nama-nama pekerja yang mempunyai prestasi rendah, lelaki itu kemudian menuang minuman keras dan beberapa ekor ulat dalam cawan sebelum menyuruh para pekerja terbabit minum. Lima atau enam orang pekerja akur dengan arahan lelaki itu terus meminum isi kandungan dalam cawan tersebut.
Menurut salah seorang pekerja kedai tersebut, semua pekerja dikehendaki melaporkan sasaran kerja mereka kepada penyelia setiap pagi. Jika ada pekerja yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka akan dihukum pada hari berikutnya.
"Hukuman hari ini adalah makan ulat yang dibeli dari kedai haiwan peliharaan. Mereka yang gagal mencapai sasaran kerja dikehendaki makan empat ekor ulat bagi setiap seorang pelanggan yang hilang," jelasnya.
Salah seorang pekerja menolak menjalani hukuman itu kerana bimbang dengan keselamatan bayinya.
"Saya tak boleh makan ulat sekarang, apatah lagi minum minuman keras kecuali saya tidak mahu bayi dalam kandungan ini," katanya.
Kasihan melihat keadaan wanita itu, seorang lelaki menawarkan diri untuk membantunya.
Difahamkan ini bukanlah kali pertama syarikat berkenaan menjalankan hukuman seperti ini. Sebelum hukuman makan ulat hidup, mereka juga pernah dipaksa makan sotong dan semut hidup.
Menurut individu yang bertanggungjawab, Cao, berkata, pihak syarikat itu telah menetapkan sasaran jualan untuk hari esok dan semua pekerja telah menandatangani sasaran harian itu.
"Jika ada yang gagal mencapai sasaran, pekerja berkenaan akan menerima hukuman secara sukarela. Sasaran itu ditetapkan oleh pekerja sendiri bagi tujuan memotivasikan diri," katanya.
Bagaimanapun, netizen berpendapat bahawa syarikat itu sepatutnya menghormati pekerjanya, bukannya menjatuhkan maruah mereka.
Peguam tempatan, Zhao Xiaodong berkata, tindakan syarikat itu memaksa pekerjanya makan cacing jelas sekali melanggar hak-hak pekerja dan perkara itu akan dilaporkan kepada Jabatan Buruh untuk tindakan selanjutnya. - The Reporter
EmoticonEmoticon