Hai. Aku nak meluahkan perasaan dan pengalaman aku. Cerita ini aku karang seringkas mungkin untuk menyampaikan point aku saja.
Aku perempuan, anak sulung, usia pertengahan 20'an. Semasa aku membuat keputusan untuk berkahwin, mak aku terus menetapkan duit hantaran RM30,000 kepada bakal suami.
Aku terkejut dan rasa keputusan itu langsung tidak masuk akal. Aku terus membangkang dan mujur Opah aku juga bersetuju dengan aku.
"Patutlah ramai anak muda lari kahwin di sempadan, sebab mak bapak macam inilah. Kamu pergilah kahwin di sana, sediakan RM3,000 je pakej lengkap siap ada photographer. Opah sokong kamu."
Terbaiklah ayat Opah, direct cakap depan mak aku.
Maka dengan itu, berkuranglah hantaran kepada beberapa ribu sahaja. Opah kata, majlis adalah tanggungjawab mak bapak, bukan bakal suami. Aku cadang nak buat kenduri biasa-biasa sahaja sebab keluarga aku ini sederhana. Tetapi keluarga aku semua setuju. Katanya kami wajib mengedarkan kad jemputan kepada 1,000 rakyat jelata dan menjangkakan tetamu yang akan datang sebanyak 2,000.
Keluarga aku bukan macam Che Tatau, terkenal satu negara. Dari hujung kampung ke hujung kampung pun bukan tentu orang kenal. Jadi, apa hal nak jemput beribu-ribu orang?
Mak bapak aku yang tertekan dengan pendapat orang kampung ini, akhirnya buat pinjaman peribadi. Tak pasti sama ada mereka memang sudah ada simpanan lain atau apa, tetapi katanya pinjaman ini untuk menanggung kos-kos tambahan sahaja.
Mak pujuk aku untuk menyumbang separuh bayaran bulanan pada bank. Aku tak kisah sebab aku memang hulur duit setiap bulan. Terpulanglah pada mereka nak gunakan duit itu macam mana.
Apa guna duit hantaran? Duit hantaran itu aku guna untuk barang hantaran, baju, kad doorgift, makeup, photographer dan kos-kos kecil lain. Selainnya, mak bapa aku (khemah, makanan, kerusi meja dan pelamin).
Pada hari majlis, sangkaan bahawa 2,000 tetamu yang akan datang meleset sama sekali. Khemah tak penuh, makanan banyak lebih, door gift pun banyak lebih. Nasib baiklah pakcik makcik yang bising itu tolong bungkuskan makanan lebih dan edarkan ke pelusuk kampung, sekolah dan asarama. Dapatlah mak bapak aku saham pahala.
Habis majlis, mak bapak terduduk sebab penat dan juga sebab keluar duit banyak untuk majlis besar-besar tetapi kesudahannya membazir saja. Kalau mampu lain cerita, ini siap terpaksa pinjam bank.
SEKARANG
Benda ini terkesan pada aku sebab keadaan ekonomi semasa. Suami aku turut terkena kesan ekonomi sekarang. Mujur aku bekerja, jadi bolehlah survive lagi. Jadinya, aku pun beritahulah pada mak bapa yang aku selepas ini mungkin jarang balik kampung sebab keadaan ekonomi aku dan suami tidak berapa bagus.
"Habis tu, duit bulan-bulan masih boleh bayar ke tak? Hutang bank ni," itu soalan pertama dari mulut mak aku.
"Ye boleh, tak ada masalah sebab itu masih tanggungjawab kita," aku jawab.
Tetapi bohonglah kalau aku tak terasa dengan soalan itu. Mak lebih risaukan hutang sendiri dari keadaan anak dia.
"Berapa sebenarnya yang mak pinjam?"
"Adalah sikit," jawab mak.
Bila aku buat kiraan semula, duit yang mereka kena bayar setiap bulan dan tempoh bayaran balik, rupa-rupanya lebih dari RM10,000.
Kesimpulannya, aku kecewa. Kenduri yang sepatutnya menjadi kenangan terindah dalam hidup tetapi bila teringat, rasa macam beban pula.
Pakcik makcik di luar sana, kalau tidak mampu buatlah cara tidak mampu. Jangan nak eksyen leibh sampai membebankan anak-anak. Jangan terikut budaya orang kampung yang kuno, sebaliknya nilaikan kemampuan diri.
Anak-anak pula, Opah aku pesan kalau tak mampu, pergilah berkahwin di sempadan sana. Macam-macam pakej ada dan pilihlah mengikut apa yang kau orang suka. Pakej bermula dar RM3,000. Opah katalah, aku tak pernah research pun. Hahaha!
Oh seperkara lagi, jangan jadikan duit sebagai alasan untuk mendekati zina. - IIUM Confessions | The Reporter
EmoticonEmoticon