LAGOS, NIGERIA - Seorang kanak-kanak lelaki mati dibakar secara hidup selepas ditangkap mencuri di sebuah pasar raya, di Nigeria.
Dalam kejadian yang berlaku pada pertengahan November lalu, kanak-kanak berusia lingkungan 7-15 tahun itu ditangkap mencuri makanan di sebuah pasar raya dan pernah melakukan perbuatan yang sama di premis ini beberapa kali sebelum ini.
Kanak-kanak yang tidak diketahui identiti itu juga didakwa pernah menyamun beberapa rumah penduduk dan premis perniagaan tempatan, malah pernah mengugut bunuh mangsanya kemudian dibelasah sekumpulan orang ramai di jalan raya di daerah Badagry, Lagos, selatan barat Nigeria.
Video menunjukkan kanak-kanak lelaki itu berdarah di bahagian muka, kakinya diikat dan mengangkat tangan merayu agar orang ramai berhenti memukulnya. Namun, rayuannya itu tidak diendahkan, malah keadaan menjadi semakin buruk.
Terdahulu, beberapa orang awam menyarankan kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang, namun kumpulan berkenaan tidak endah dengan saranan itu dan terus membelasah mangsa.
Tayar kenderaan yang berisi cecair mudah terbakar juga diletakkan di lehernya yang kemudian dinyalakan dengan api menyebabkan mangsa terbakar. Mangsa berjaya membuang tayar itu dari lehernya, bagaimanapun sudah terlambat dan mangsa terbakar sehingga mati. - The Reporter
JOHOR BAHRU - Video dua lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai runcit pada Rabu lalu, viral di media sosial.
Dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Melayu Majidee itu, pemilik kedai runcit dilihat cuba mempertahankan kedainya daripada disamun oleh dua suspek yang bersenjatakan parang.
Kejadian itu bermula apabila suspek berjaket biru menyerbu masuk ke kedai dan menjatuhkan barang membuatkan beberapa pelanggan yang lain lari ketakutan.
Rakan suspek berjaket hitam turut serta tidak beberapa lama kemudian dan mula menyerang mangsa dan memaksanya menyerahkan wang. Malangnya, mangsa enggan menuruti permintaan mereka lalu menolak badan salah seorang suspek.
Berang dengan tindakannya itu, mereka terus melibas mangsa dengan parang beberapa kali dan mangsa cuba mengelak dan menepis libasan parang itu dengan tangan.
Dalam kesempatan itu, suspek berjaket hitam masuk ke bahagian kaunter dan mengambil sejumlah wang yang ada masuk ke dalam poket seluarnya.
Mangsa berhenti melawan apabila menyedari dirinya mengalami pendarahan di bahagian tangan dan kepala akibat ditetak suspek berjaket biru serta terpaksa membiarkan dua suspek itu menyamun kedainya sebelum berlalu pergi.
Sementara itu, netizen kagum dengan keberanian pemilik kedai itu mempertahankan kedainya walaupun tindakan itu amat berbahaya. - The Reporter
HULU SELANGOR - "Saya baru saja menutup gerai sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat. Terkejut saya menyaksikan kereta jatuh satu persatu bagi ditelan bumi," kata Normah Ninggal, 48, yang menjadi saksi kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, awal pagi tadi.
Ketika kejadian jam 1 pagi, Normah baru saja selesai berniaga dan sedang mengemas di hadapan rumah yang terletak bersebelahan gerainya itu.
"Saya panggil anak-anak yang berada di gelanggang sepak takraw di sebelah rumah untuk masuk. Tak sampai seminit, tanah di belakang rumah runtuh, pokok bergoyang dan kereta berpusing," katanya.
Kejadian itu amat menakutkan kerana tiada tanda-tanda jalan atau tanah di kawasan itu retak, katanya.
Lapor Harian Metro, dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal, Mohd Fareez, 21, dilaporkan patah kaki dan tangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Mangsa tertimbus dalam runtuhan berkenaan, namun berjaya diselamatkan penduduk berhampiran yang menyedari insiden itu.
Pihak bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 1.02 pagi, tiba di lokasi 16 minit kemudian.
Sebagai langkah keselamatan, semua penduduk berhampiran kawasan kejadian seluas 1.2 hektar telah diarahkan berpindah buat sementara waktu.
Operasi mencari dan menyelamat juga telah dijalankan bermula jam 6.45 pagi dan selepas usaha pencarian dijalankan lebih dari sejam, tiada mangsa yang ditemui.
Lapor Astro Awani, sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk taman itu turut tertimbus dalam runtuhan itu. Runtuhan sepanjang hampir 100 meteri dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong itu juga turut meranapkan tujuh unit kedai.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) masih meneruskan pemantauan untuk melihat sama ada masih berlaku pergerakan tanah di kawasan itu. - The Reporter
MERAPOH - Seorang lelaki maut akibat dilanggar dan digilis kereta api di kilometer 260 berhampiran Kampung Paya Keladi, Chegar Perah, hari ini.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa dianggarkan berusia 30 - 40 tahun itu ditemui dalam keadaan kepalanya terputus dan badannya hancur digilis kereta api.
Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM), Zulhelmi Mohamad, 50, yang dalam perjalanan ke dari Kuala Lipis ke Kelantan memaklumkan kepada Bilik Gerakan KTMB bahawa dia terlanggar seseorang dan sepasukan kakitangan KTMB bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
"Sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa dalam keadaan yang mengerikan. Bagaimanapun identitinya masih belum diketahui.
"Pihak polis terpaksa mengambil sedikit masa bagi mengutip cebisan mayat sebelum dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat," katanya.
Justeru, orang ramai yang ada kehilangan keluarga diminta tampil bagi membantu proses pengecaman mayat. - The Reporter
Sebuah pesawat memadam kebakaran dari Greece | Foto - Ariel Schalit
HAIFA - Israel telah menerima tawaran pihak berkuasa Palestin untuk menghantar empat pasukan bombanya dalam usaha membantu memadam kebakaran di seluruh tanah haram Israel itu, kata pegawai kanan kerajaannya semalam, lapor Haaretz.
Pegawai itu berkata, Penyelaras Aktiviti Kerajaan di wilayah menyelia kerjasama di antara Palestin dan anggota bomba Israel.
Sekurang-kurangnya 130 orang cedera dalam kebakaran besar itu yang kebanyakannya akibat terhidu asap. Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan serius dan mengancam nyawa.
"Negara Israel" terbakar teruk. Mungkinkah ini azab awal & amaran dariNya? Semoga Allah beri kemenangan buat penduduk Palestin. pic.twitter.com/GVSLAyTIpJ
Rusia, Turki, Greece, Italy, Croatia dan Cyprus Khamis lalu telah bersetuju untuk menghantar sejumlah 10 buah pesawat ke Israel untuk membantu memadam kebakaran itu.
Terdahulu, empat warga Arab di Jerusalem telah ditahan pada pagi semalam kerana dipercayai dalang bencana itu. Bagaimanapun, suspek dibebaskan setelah pihak Mahkamah Israel kekurangan bukti untuk membuat pendakwaan. - The Reporter
PUTRAJAYA - Setelah menerima desakan dari pelbagai pihak, Kabinet akhirnya membuat keputusan skuad Harimau Malaysia akan terus bersaing dalam saingan bola sepak Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar, Sabtu itu, lapor Berita Harian.
Keputusan Kabinet itu diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, jam 1 tengah hari tadi.
"Kabinet sudah berbincang mengenai isu Myanmar membabitkan etnik Rohingya dan membuat keputusan untuk terus selesaikan perlawanan di Myanmar. Tindakan diplomatik seterusnya akan dibuat selepas ini," katanya.
Terdahulu, ramai yang mendesak skuad Harimau Malaysia menarik diri sebagai tanda protes pada kekejaman Myanmar terhadap penghapusan etnik Rohingya di negara itu.
Namun, FAM semalam menegaskan (FAM Takkan Tarik Diri) bahawa pihaknya tidak akan menarik diri kerana sukan bola sepak adalah berkecuali dari politik, agama dan semua aspek. - The Reporter
KUALA LUMPUR - Filem animasi tempatan, Upin Ipin Jeng Jeng Jeng yang dilakonkan oleh Puteri Balqis, Awie, Sara Ali, Gambit, Remy Ishak dan termasuklah Asyiela Putri (suara Upin & Ipin) baru saja ditayangkan semalam. Namun sudah ada yang mengadu bahawa filem itu gagal memahami apa kehendak penonton ciliknya.
Baca luahan dari Alia Hayati yang baru saja menonton filem Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng semalam.
Setelah dua tahun aku tak tengok wayang, hari ini aku jejak kembali ke panggung sebab anak aku, Mirza, tak pernah missed tengok Upin Ipin setiap hari di YouTube.
Nak tunggu bayang Upin Ipin, kena tunggu lebih kurang 20 minit baru nampak bayang Upin Ipin. Korang tahu tak betapa susahnya nak tenangkan anak aku bila dia tanya, mana Upin Ipin? Aku dengar ramai anak-anak yang petah bertanya,
Mana Upin Ipin?
Filem ini sangat tak best? Apa mereka ingat anak aku kenal ke Awie itu siapa? David Teoh itu siapa? Aqish itu siapa? Yang anak aku nak tengok sekarang, Upin Ipin sahaja.
Tak sampai satu jam, ramai mak bapak yang bawa anak mereka keluar sebab anak mengamuk tanya mana Upin Ipin.
Siapa punya idealah buat filem ini. Korang patut faham apa yang anak aku nak tengok. Korang tahu tak yang tengok Upin Ipin ini umur dua tahun? Jadi diorang nak Upin Ipin saja. Awatlah hang tunjuk artis-artis yang tak paedah tu.
Aku suggest, kalau korang ada anak baya aku, tak payah tengok sebab sangat-sangat berat untuk diorang faham. Aku takkan bagi bintang sebab filem ini tak buat anak aku happy. Filem s****h. - Alia Hayati
Demikian luahan seorang ibu yang telah membawa anak perempuannya menonton filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng di pawagam baru-baru ini.
Luahannya itu juga telah dikongsi 2,074 perkongsian di Facebook dan 2,130 komen.
Di laman Facebook rasmi Upin & Ipin pula menunjukkan, respon dari penonton memberikan 10 bintang.
"Nak habaqlah, movie Upin Ipin ni cenggini (thumbsup). Siyes beb, hakak kata cite ni memang best dan tak bosan. Mak ayah dan anak-anak pun layan je cite Upin Ipin 'jengjengjeng' ni.
"Yang mana ada anak-anak itu, pergilah bawa cepat-cepat tengok movie #upinipinjengjengjeng ni. Hakak kasi 10 bintang," kata Siti Rahayu dalam screentshot yang dikongsi di Facebook Upin Ipin.
Apa pun, diharapkan pandangan dari ibu bapa ini diterima dengan hati terbuka untuk memperbaiki jalan cerita Upin & Ipin di masa akan datang.
Bagaimana dengan yang lain? Sudahkah anda menonton filem animasi Upin Ipin ini? Apa pandangan anda? - The Reporter
SHAH ALAM - Pasangan suami isteri yang mengasari anggota penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika menjalankan tugas di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam dijatuhkan hukuman penjara selama 14 hari, lapor Berita Harian.
Majistret P Sarulatha menjatuhkan hukuman itu selepas pasangan suami isteri itu, Lor Ka Hoo, 35, dan Tan Sit Fun, 30, masing-masing mengaku bersalah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugasnya.
Pasangan terbabit juga diperintah membayar denda sebanyak RM3,000 seorang dan jika gagal berbuat demikian, hukuman penjara tambahan selama 7 hari akan dikenakan.
Gambar Tan Sit Fun dalam lokap tersebar di media sosial | Foto - Netizen
Bagaimanapun Sarulatha membenarkan hukuman itu ditangguhkan sehingga selesai rayuan dan pasangan terbabit dibebaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang. - The Reporter
Baru-baru ini, laman Says memuat naik video seorang pemuda bernama Muhd Alatas yang mana beliau hanya berbekalkan RM3 untuk survive setiap hari selama 6 bulan.
Kisah hidupnya dari susah sehingga berjaya memiliki perniagaan sendiri wajar dijadikan sebagai inspirasi dan contoh kepada anak-anak muda yang lain. Apa yang lebih membanggakan, beliau memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari dari laman Google dan YouTube.
Hi, nama saya Muhd Alatas. Kawan-kawan semua panggil Roy. Saya berumur 34 tahun dan sekarang ini saya buat bisnes. Kebanyakannya buat construction, buat rumah, buat banglo.
Sebelum itu, saya bekerja di Mid valley sebagai decorator, sebagai artis di Mid Valley dengan gaji RM10 sehari. Kena buang RM7 untuk kos pengangkutan dan baki yang saya ada RM3, untuk saya hidup dalam sehari.
Mohd Alatas kerja di Mid Valley sebagai decorator dengan gaji RM10 sehari | Foto Mohd Alatas
Dari RM3 itu, RM1 saya makan maggi, RM1 saya beli air dan RM1 saya simpan setiap bulan. Jadi, setiap bulan saya hanya ada RM30 kalau saya kerja full.
Saya tinggal di Batu Caves, simpang tiga, fly over. Saya makan maggi. Masa itu hidup saya sangat-sangat susah. Perkara yang paling sedih saya ingat, saya makan maggi. Sebungkus maggi kari itu saya patahkan kepada dua bahagian. Setengah itu saya makan di waktu siang hari dan setengah satu lagi saya makan untuk malam hari. Saya menjalani kehidupan seperti ini lebih kurang dalam 6 bulan ke 8 bulan.
6-8 bulan, Mohd Alatas hidup dengan RM3 sehari | Foto - Mohd Alatas
Ikat perut, Mohd Alatas hanya mampu membeli maggi untuk dimakan setiap hari | Foto - Mohd Alatas
Rasa dalam simpanan ada RM500, beli dapur gas, kanopi, kita buka gerai. Dalam masa 8 bulan beroperasi, kita dah nampak hasil tetapi masih lagi dalam kesempitan hidup. Jadi saya beritahu member yang syaa nak ambil sedikit duit hasil daripada bisnes untuk daftar lesen di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kemudian buat interior dan fashion design.
Laman YouTube & Google dijadikan sebagai rujukan buat dirinya untuk mempelajari bisnes baru | Foto - Mohd Alatas
Untuk bisnes pertama yang saya buat, saya dapat keuntungan sebanyak RM30,000, berkat dari saya bersabar dan tabah.
Bila saya buat rumah, orang bertanya pada saya, macam mana saya tahu buat decoration? Saya menyatakan bahawa saya belajar daripada YouTube, buka Google macam mana orang boleh pateri besi, pertukangan kayu, buat perabot, buat wood pallet wood.
YouTube dan Google adalah guru yang terbaik untuk saya
Ada orang tanya tahap pendidikan saya sampai mana, degree, diploma bagai. Jujur saya katakan, saya sekolah sampai tingkatan dua sahaja kerana ibu saya tidak mampu bayar yuran sekolah. Lalu ibu saya kata berhenti belajar. Daripada situ saya mula bekerja, kerja di kilang.
Mostly saya boleh katakan keluarga saya dah berjaya sekarang sebab kesusahan kami dulu. Yang paling penting, kita kena jujur dalam hidup. Pertama sekali jujur pada diri sendiri. Kalau kita tipu diri kita sendiri, kita pun 100% akan tipu orang lain. Pilihan dalam tangan kita sendiri.
Kita nak hidup, hidup. Orang nak pakai Ferrari, kita nak pakai Ferrari memang tak bolehlah. Tetapi dia pakai kereta, kita pun pakai kereta, boleh. Kita nak sampai ke tempat kerja dengan memandu, tak nak naik tren. Okey, kita pandulah kereta sendiri. Perodua Kancil pun kereta, boleh sampai juga ke tempat kerja. Yang penting kita senang, pakai cukup, minum cukup, makan cukup, semua cukup, boleh kahwin dah cukup dah. - Mohd Alatas | Says
Jujur kami kagum dengan usaha lelaki ini yang tidak mudah berputus asa. Malah dia mengambil insiatif untuk memajukan diri dan mengambil peluang yang ada untuk mengubah nasib hidupnya. Berbanding sesetengah manusia di luar sana yang hanya tahu menunggu atau bergantung hidup pada orang lain sahaja.
Apa lagi alasan anda untuk tidak tidak berjaya? Semoga kisah Mohd Alatas ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana. - The Reporter
KUALA LUMPUR - Ibu bapa kanak-kanak yang menjadi mangsa simbahan minyak panas luah rasa sayu bilamana mereka dimaklumkan bahawa anak mereka mengalami kecacatan kekal terutamanya di bahagian mulut.
Nur Arissa Jannah, 15 bulan, melecur teruk di bahagian muka, tangan, bahu dan lengan akibat insiden 14 November lalu, kini dirawat di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mohd Salim Nurali, 20, berkata, dia dan isteri terlalu merindui wajah comel dan keletah manja anaknya yang menghiburkan.
"Anak saya mengalami kecacatan kekal terutamanya di bahagian mulut akibat disimbah minyak panas. Namun bagi kami dia tetap comel. Walaupun wajah anak berubah, tetapi dia tetap comel di hati kami.
"Sebak terasa di hati setiap kali melihat tubuhnya terlantar di katil hospital," katanya, memetik laporan dari Harian Metro.
Nur Arissa Jannah menjadi mangsa dendam rakan sekerja bapanya di gerai Mohd Salim yang bekerja di Bukit Ampang, Selangor.
Mohd Salim berkata, dia bimbang mengenang masa depan anaknya yang mungkin terjejas disebabkan kecacatan yang dialami.
"Saya merayu kepada orang ramai agar dapat menghulurkan sumbangan bagi menampung kos rawatan anak.
"Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0500341000025922 atas nama isteri, Nor Narissa Sofea," katanya. - The Reporter
SUNGAI BULOH - Padah menghalang penjawat awam menjalankan tugas, lelaki dan wanita yang terlibat dalam insiden pagi semalam telah ditahan polis.
Menurut sumber, pasangan berkenaan telah ditahan beberapa jam selepas video insiden itu viral di media sosial.
Berdasarkan keterangan mangsa, Nurul Ain Isa, berkata, pasangan terbabit berang dengan tindakannya mengeluarkan saman terhadap mereka kerana tidak mempamerkan kupon meletak kereta.
Mangsa telah menjelaskan bahawa saman yang telah dikeluarkan tidak boleh dibatalkan. Penjelasan itu membuatkan pasangan itu bertambah berang dan bertindak menghalang dan merakam gambarnya dengan tujuan menghalang mangsa menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus mengesahkan penahanan dua individu berkenaan.
"Kedua-dua suspek berusia 30'an telah ditahan pada jam 10.24 pada hari kejadian dan akan didakwa di Mahkamah Shah Alam di bawah Seksyan 353 Kaun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas," katanya, lapor The Star.
Orang ramai dinasihatkan berhenti memuat naik komen-komen berunsur perkauman kerana insiden tersebut bukan melibatkan bangsa, sebaliknya sikap pasangan berkenaan yang tidak menghormati penjawat awam yang menjalankan tugas dan enggan mengaku kesalahan diri. - The Reporter
SUNGAI BULOH - Video pasangan dipercayai suami isteri yang menghalang seorang anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan tugas, viral di media sosial dua jam yang lalu.
Dalam kejadian 10.24 pagi semalam di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pasangan berkenaan dilihat menghalang seorang penjawat awam, Nurul Ain Isa, dan dua lagi rakan sekerjanya menjalankan tugas menggenakan kompaun pada kenderaan milik pasangan berkenaan kerana tidak mempamerkan kupon parking.
Berang dikenakan saman, pemilik kenderaan berkenaan tampil dan menyatakan bahawa dia sudah ada kupon parking. Namun, Nurul menjelaskan bahawa saman yang telah dikeluarkan tidak boleh dibatalkan.
"Saya telah keluarkan saman parking ke atas sebuah kereta kerana tidak pamerkan kupon meletakkan kenderaan. Selepas saya mengeluarkan saman tersebut, datang seorang perempuan berjumpa dengan saya dan dengan nada kasar memarahi saya.
"Dia juga menyatakan bahawa dia sudah ada kupon. Saya menjelaskan bahawa saman yang telah dikeluarkan tidak boleh dibatalkan yang kemudian berlaku pertengkaran di antara kami.
"Perempuan itu kemudian membawa seorang lelaki dan terus menengking, mengugut mahu menumbuk serta cuba menggigit jari saya," katanya.
Mangsa cuba menjerit meminta dilepaskan dan menjelaskan bahawa mereka telah menghalang penjawat awam menjalankan tugas, namun tidak diendahkan. Malah lelaki itu dilihat cuba merakam wajah mangsa dalam keadaan cuba memeluknya.
Berang dengan tindakan lelaki itu, mangsa sekali lagi menjerit mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
"Saya ambil keputusan untuk beredar, namun perempuan itu telah mengekori saya dengan alasan mahu merakam gambar dan mengambil nama saya. Perempuan itu telah menarik belakang baju dan lelaki tersebut juga menghalang saya daripada beredar," katanya.
Nurul kemudian berjaya melepaskan diri dan terus beredar dari tempat kejadian dan membuat laporan di balai polis berhubung kejadian itu.
Sementara itu, netizen meluahkan rasa geram terhadap tindakan kurang ajar lelaki dan wanita itu serta meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan berkenaan. - The Reporter
MIRI - Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam semak di Jalan Tudan, Lutong, petang tadi.
Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui pada jam 2 petang oleh orang awam yang terdengar tangisannya.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai penemuan itu sebelum menghantar pasukannya ke lokasi kejadiannya.
Menurut beliau, bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan antara dua hingga empat jam sebelum dibuang ibunya dalam semak.
Bayi perempuan ini ditemui dalam semak dan digigit semut menyebabkan wajahnya bengkak serta beberapa lagi bahagian badannya turut bengkak. | Foto - Netizen
Bayi malang itu kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan. - The Reporter
YANGON - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan mereka tidak akan menarik diri dari kejohanan Piala AFF Suzuki meskipun ada pihak yang mendesak berbuat demikian, lapor Berita Harian.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, mengikut mana-mana statut persekutuan termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kofederasi Bola Sepak Asia (AFC), bola sepak adalah berkecuali daripada politik, agama dan semua aspek.
"Saya tegaskan bahawa FAM tidak akan menarik diri daripada Piala AFF Suzuki. Kalau kita mahu menarik diri, ia sepatutnya dibuat lebih awal dan isu Rohingya ini sudah lama.
"Saya berpendapat, mengapa FAM atau bola sepak yang menjadi mangsa terhadap isu ini? Kenapa tidak lihat kepada perkara lain? Jadi ini boleh menjejaskan moral pemain," katanya pada sidang media sebentar tadi.
Hamidin berharap, keputusan yang dibuat Jemaah Menteri pada mesyuarat esok dan mana-mana pihak tidak menjadi bola sepak sebagai 'kambing hitam' dalam isu yang membabitkan etnik Rohingnya di Myanmar. - The Reporter
Suspek dan ibu mangsa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret tengah hari tadi | Foto - BERNAMA
SUNGAI PETANI - Penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang disembunyikan dalam tong ikan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu sejak dua minggu lalu, mengejutkan tiga penghuninya yang lain, lapor Berita Harian.
Mohd Hisham Mohamad, 29, berkata, penemuan mayat mangsa itu juga menjawab misteri kehilangan tong ikan yang selama ini digunakannya untuk menadah air di tandas rumah tersebut.
Menurut Hisham, rumah itu pada asalnya didiami bersama tiga penghuni lain sebelum suspek lelaki membawa pulang teman wanita bersama dua anaknya lebih kurang sebulan yang lalu.
"Semenjak wanita itu tinggal di sini, kami bertiga jarang pulang ke rumah kerana kurang selesa dengan kehadirannya, lebih-lebih lagi rumah ini dihuni oleh lelaki bujang.
"Selama wanita itu berada di sini, saya tak ada dengar sangat mereka bergaduh atau kanak-kanak itu dipukul kerana saya jarang berada di rumah.
"Saya hanya perasan tong ikan yang selalu digunakan untuk menadah air, hilang. Bila saya tanya suspek, katanya dah beri pada orang.
"Saya benar-benar terkejut apabila mendapat tahu bahawa tong ikan yang hilang itu ada di dalam biliknya dan berisi mayat anak teman wanitanya," katanya.
Rumah sewa yang dihuni 4 lelaki bujang | Foto - Netizen
Jelas Hisham lagi, pada kejadian tengah malam tadi, wanita itu telah meminta bantuannya untuk membawa anak perempuannya yang tidak sedarkan diri ke hospital akibat dipukul oleh suspek.
"Saya bergegas membawa mangsa ke rumah jiran untuk disembunyikan dan pada waktu itu jugalah dia memberitahu anak lelakinya sudah mati dan mayatnya disorok dalam tong ikan di dalam bilik," kata Hisham.
Mendengar kejadian itu, jiran mereka segera menghubungi polis dan melaporkan kejadian itu.
Suspek dan ibu mangsa telah ditahan pada jam 6 pagi tadi di kediaman berkenaan. Polis telah membawa kedua-dua suspek ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 12 tengah hari tadi untuk mendapatkan perintah reman selama 7 hari mulai hari ini. - The Reporter
Polis mengangkat tong ikan berisi mayat mangsa berusia 2 tahun
SUNGAI PETANI - Mayat seorang budak lelaki berusia dua tahun ditemui diawet dalam tong ikan, manakala kakaknya, 4, berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital, dipercayai didera oleh ibu dan teman lelakinya dalam kejadian di Flat Paya Nahu, awal pagi ini, lapor Harian Metro.
Kejadian itu terbongkar selepas berlaku pergaduhan di antara ibu mangsa berusia 26 tahun dengan suspek pada jam 1.20 pagi tadi sehingga memaksa campur tangan dari pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pihaknya menerima maklumat awal kejadian pergaduhan di sebuah rumah di flat terbabit, jam 1.25 pagi.
"Sepasukan anggota polis tiba di lokasi pada jam 2 pagi dan menemui seorang wanita mengatakan anak perempuannya dipukul oleh teman lelaki dan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan.
Lapor Berita Harian, mangsa berusia 4 tahun itu ditemui dengan pelbagai kecederaan di muka dan lebam seluruh badan dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya.
"Wanita itu kemudian memberitahu anak lelakinya dipukul sehingga mati oleh lelaki yang sama dan disimpan dalam satu tong di dalam bilik," katanya.
Hasil pemeriksaan polis menemui mayat budak lelaki di dalam tong dalam keadaan reput dibalut dengan toto, kain batik dan pita perekat.
Polis kemudian menahan suspek lelaki berusia 34 tahun serta ibu mangsa di Blok A14 flat berkenaan pada jam 6 pagi tadi. Kedua-duanya didapati positif dadah amphetamine.
"Siasatan awal polis mendapati ibu kandung mangsa dan teman lelakinya mendera si mati dan wanita itu memberitahu anaknya meninggal dunia pada 9 November lalu," katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan. - The Reporter
KUALA LUMPUR - Susulan gesaan pasukan Harimau Malaysia menarik diri dari perlawanan Piala AFF di Myanmar, sebagai tanda solidariti membantah kekejaman rejim Junta terhadap umat Islam di negara itu, tampil seorang individu membantah gesaan tersebut.
Individu yang tidak didedahkan namanya itu berpendapat bahawa, tindakan menarik diri seperti Malaysia memberi tiket percuma kepada Myanmar ke separuh akhir dan sudah tentu merugikan Malaysia.
"Kalau Malaysia tarik diri, sama seperti Malaysia beri Myanmar tiket percuma ke separuh akhir. Konon nak boikot, tetapi menjerat diri sendiri. Siap hampar karpet merah untuk Myanmar lagi.
"Nak boikot, ada macam-macam cara, bukannya tarik diri sahaja. Cara terbaik adalah, menang dengan Vietnam dan kemudian layak ke separuh akhir. Game selepas itu, bantai Myanmar cukup-cukup kasi tersembam di bumi sendiri.
"Selepas game habis, berkumpul di depan media pakai t-shirt 'Save Rohingya', lagi mendalam kesannya. Game semi final di tempat sendiri, fans buat kain rentang besar-besaran. Buat one minute silence sebelum game. Player pakai lilit lengan hitam biar satu dunia tahu kita tengah boikot Myanmar. Kalau FIFA denda, berapa sen sangatlah. Boleh cover dengan duit hasil jualan tiket.
"Pada zaman moden, bila tarik diri dari sukan seumpama lari dari medan perang. Buat apa lari kalau kita betul?" katanya.
Bagaimanapun dalam perlawanan semalam, Malaysia tewas kepada Vietnam 0-1. Kekalahan itu menyukarkan peluang skuad negara untuk melepasi peringkat kumpulan kerana mereka wajib menang ke atas pasukan Myanmar pada aksi terakhir, Sabtu ini. - The Reporter
CALIFORNIA - Gelagat comel seorang bayi perempuan terkejut selepas 'diserang' bayang-bayang dinosaur viral di media sosial.
Berdasarkan video, bayi perempuan berkenaan dilihat bertatih di dinding kediamannya sambil si ibu cuba mengusiknya dengan bayang-bayang dinosaur.
Hairan melihat bayang-bayang tersebut, bayi berkenaan perlahan-lahan menghampirinya dan tiba-tiba 'dinosaur' itu menerkamnya (serentak dengan bunyi ngap), membuatkan bayi itu terkejut lalu terjatuh.
Video lucu itu telah ditonton 19 juta pengguna Facebook dalam masa dua minggu dan ramai ibu bapa yang mahu mencuba pada anak kecil masing-masing.
"Kalaulah saya nampak video ini dulu, pasti saya akan cuba pada bayi saya. Sekarang bila saya buat di depannya, dia memandang saya dan berkata, 'Ayah ni dah kenapa?'," kata Ali Nasser. - The Reporter
KUALA LUMPUR - Ekoran tersebarnya foto kontroversi kononnya terdapat kesan gigitan cinta pada lehernya, Yuna tampil memberikan penjelasan sebenar.
Yuna atau nama sebenar Yunalis Zarai, 30, menjelaskan bahawa kesan merah itu terjadi akibat alahan pada kulit selepas digigit labah-labah ketika dia menjayakan konsert jelajahnya di Alabama, Amerika Syarikat, lima minggu yang lalu.
"Ini bukan gigitan cinta tetapi kesan daripada gigitan labah-labah. Ia bukan sahaja di leher tetapi juga di wajah dan tangan saya yang turut digigit ketika sedang tidur," katanya memetik laporan dari mStar Online.
Sementara itu, seperti netizen yang lain, Azwan Ali tidak ketinggalan memberikan teguran kepada penyanyi berkenaan.
"Kalau ye pun spider bites, tudung, kain serkup, langsir kondo ambillah cover. Ini tak, kau ghase? Dan peliknya why spider Amerika gigit-gigit artis Malaysia? Why spider itu tak gigit Donald Trump?" katanya. - The Reporter
KUALA LUMPUR - Kemunculan drama baru slot Iris di TV3 mengundang pelbagai reaksi netizen, lebih-lebih lagi dengan tajuknya yang seperti 'terdesak' mahu drama berkenaan menjadi popular seperti drama-drama sebelum ini yang menggunakan tajuk yang hampir sama.
Netizen meluahkan reaksi meluat dan menganggap drama-drama di negara ini sudah tidak berkualiti dan tidak berbaloi untuk ditonton. Malah, jalan ceritanya juga sudah dapat diteka.
"Kompom hero anak dato, takpun tan sri. Belajar di oversea, kemudian balik Malaysia, ambil alih syarikat papa dan seterusnya berkelahi berebut perempuan. Dah tahu dah ending drama ini. Fakkk!" kata Mat Fitri.
Comment netizen di Facebook TV3
"Bodoh sehh tajuk dia. Adui kemon laa drama Melayu bila nak maju. Asyik cerita cinta saja," kata Zety Zuhairah Zainal.
Comment netizen di Facebook TV3
Apa kata anda? Adakah anda juga sudah mula meluat? - The Reporter
PERAI, PULAU PINANG - Seorang pengawal keselamatan hanya mampu akur jika majikannya mahu memberhentikan khidmatnya kerana terlalu kerap cuti.
Kisah sayu mengenai wanita bernama Rosyatimah binti Rodi atau lebih gemar dipanggil sebagai Kak Ros ini dimuat naik oleh laman Penang Kini, cetus rasa kasihan netizen yang bersimpati dengan nasibnya.
Kak Ros, bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Taman Inderwasih, Perai bagi menyara hidup keluarganya. Suaminya, sudah terlantar sakit di rumah 5 tahun akibat strok.
Dengan gaji yang tidak seberapa, beliau terpaksa menanggung anaknya seramai sembilan orang. Salah seorang sudah bekerja tetapi hanya mampu memberi RM300 setiap bulan, manakala yang lain ada yang masih bersekolah dan tidak berkerja.
Namun, anak bongsunya yang masih bersekolah rendah adakalanya membantu ibunya dengan mengambil upah mencuci pinggan di kedai makan.
Difahamkan, Kak Ros seringkali berulang ali ke hospital untuk mendapatkan rawatan susul berikutan beliau kehilangan satu buah pinggangnya akibat kemalangan lampau. Ekoran kerap kali bercuti menyebabkan majikan bakal mengambil tindakan memberhentikannya.
Perkhabaran itu membuatkan Kak Ros susah hati dan meluahkan perkara itu kepada pengendali laman Penang Kini.
Justeru, bagi sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan tak kira apa jenis bentuk bantuan sekalipun bolehlah menghubungi Kak Ros di alamat A4-2-16, Flat Taman Inderwasih, Medan Kikik 3, 13600 Perai atau hubungi nombor telefon 017-4278450. - The Reporter
GURUN, KEDAH - Alangkah terkejutnya seorang wanita berusia 24 tahun bila mendapati dirinya yang sedang membuang air kecil di tandas, dirakam oleh seorang lelaki, semalam.
Dalam kejadian jam 9.45 malam semalam, di tandas sebuah stesen minyak, hentian Rehat & Rawat (RnR) Gurun, arah selatan, mangsa ternampak sebuah telefon bimbit berwarna hitam di bahagian atas tandas sedang merakam dirinya.
"Semasa saya sedang membuang air kecil, saya ternampak telefon bimbit berwarna hitam di bahagian atas tandas yang sedang merakam saya membuang air kecil. Saya terus menjerit dengan sekuat hati.
"Ayah saya menunggu di luar terdengar saya terus masuk ke dalam tandas dan berjaya menangkap lelaki itu," kata mangsa.
Berikutan jeritan mangsa, bapanya berjaya menangkap seorang lelaki warganegara asing yang juga merupakan pekerja stesen minyak berkenaan.
Suspek bagaimanapun cuba merayu untuk dilepaskan. Namun tidak diendahkan dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama. - The Reporter
KUALA LUMPUR - Dalam perkembangan terkini kes seorang pelajar tahfiz mendakwa dirinya dicabul pelajar senior dalam kejadian Ogos lalu, pengusaha pusat tahfiz berkenaan, Datuk Kazim Elias, tampil membuat tuntutan sebanyak RM8 juta daripada ibu pelajar berkenaan kerana telah melemparkan fitnah terhadapnya, lapor Malay Mail.
Selain tuntutan RM8 juta itu, Kazim juga menuntut wanita berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka di akhbar dan laman Facebook. Tuntutan tersebut haruslah dibuat dalam tempoh seminggu bermula dari tarikh serahan surat tersebut, menurut firma guamannya, Khairul, Suhaila dan Hazlina.
Berdasarkan surat tuntutan bertarikh 18 November itu, Kazim mendakwa coretan wanita itu pada 2 Ogos lalu telah memfitnah dirinya dan pusat tahfiz miliknya sehingga menjejaskan reputasi kedua-duanya.
Meskipun wanita berkenaan tidak menyebut nama dan sekolahnya, tetapi sebahagian dari ulasan Facebook menyatakan dengan jelas mengakibat Kazim dituduh seorang pedofil yang menggunakan sekolah untuk menarik pelajar dan mencabul mereka.
24 Ogos lalu, polis mengesahkan menerima aduan pencabulan seks di pusat tahfiz berkenaan. Bagaimanapun di hujung Ogos lalu, Kazim tampil membuat penafian mengenai kejadian itu. - The Reporter
SHAH ALAM - Seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang dalam operasi, maut selepas dilanggar treler di hadapan Plaza Tol Setia Alam, tengah hari tadi, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohd Ridzuan Yusoff, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas digilis treler tersebut.
Siasatan polis mendapati, mangsa yang baru selesai memeriksa pemandu sebuah lori kontena yang berada di hadapan treler berkenaan.
Pemandu treler berusia 68 tahun itu berhenti seketika di bahu jalan untuk menghubungi seseorang sebelum meneruskan perjalanan tanpa menyedari mangsa berada di hadapan kenderaannya lalu melanggar dan menggilis mangsa.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.