Orang tua-tua selalu berpesan, jangan bawa anak berusia bawah 3 tahun keluar ketika waktu senja atau malam kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku. Ini kerana, ada saja 'benda' yang mengintai dan mahu menumpang badan si kecil yang belum terdaya melawan makhluk halus ini.
Namun, mungkin kerana belum ada pengetahuan mengenai perkara seperti itu, anak kepada pasangan ini ditumpang oleh 'sesuatu' sebaik saja mereka pulang melihat sekumpulan kerbau di waktu malam.
Semoga perkongsian dari Puan Amy ini dijadikan sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua ibu bapa terutamanya yang baru melahirkan anak agar perkara seumpama ini tidak berlaku.
Oleh Puan Amy
Deepavali yang lalu, balik rumah mak sebab nak buat kenduri untuk arwah atok dan opah. Sampai saja di Ipoh, saya tak sihat dan demam. Abang dan adik pula selsema.
Nak dijadikan cerita, malam sehari sebelum kenduri, saya ajak suami bawa abang, adik dan abang Ayiff pusing-pusing taman. Samapi berhampiran dengan The Centro (tempat orang main golf), ada sekumpulan kerbau. Saya suruh suami berhenti dan tunjuk kerbau itu pada budak-budak. Inilah gambar kerbau yang sempat saya rakam pada malam itu.
Selepas balik dari tengok kerbau, malam itu abang tidur menangis dan menjerit-jerit. Dua kali saya terbangun menyangka abang mengigau. Selepas pujuk abang tidur semula.
Menjelang pagi itu, Aisya pula bangun, tepuk-tepuk saya sambil senyum tetapi matanya pejam. Saya angkat Aisya dan letak atas bantal sambil tepuk-tepuk dia. Tiga kali dia bangun buat begitu. Akhir sekali saya tengok mata dia melihat sekeliling. Terus saya bangun dan angkat dia sambil panggil nama dia. Namun Aisya tidak menyahut mahupun memandang saya. Saya kejutkan suami, pun sama tiada respon. Lalu bawa Aisya ke luar bilik dan panggil ayah.
Ayah kata tiada apa-apa, ada 'benda' nak mengacau sahaja. Ayah pegang-pegang Aisya dan selepas itu Aisya bermain, berjalan sana sini dan senyum. Saya sangka tiada apa-apa selepas itu, namun sangkaan saya meleset.
Balik KB, Aisya demam. Bila tidur malam, Aisya banyak kali terjaga dan mudah terkejut terus menangis tak boleh dipujuk. Saya sangka sebab dia demam dan tak fikir yang bukan-bukan pada masa itu. Hari terakhir sebelum dia menangis teruk, saya maklumkan pada suami yang Aisya kelihatan pelik.
"Tengah-tengah tidur pun dia boleh menguap. Kuat pula bunyinya. Selepas itu, tidur tak nak di bawah. Nak tidur di bawah pelukkan saya. Bila letak saja, terus menjerit,"
Keesokkannya, Aisya demam dan berlarutan sehingga siang dengan suhu 38'c. Malam itu kami bawa Aisya pergi klinik. Doktor masukkan ubat bontot. Sepatutnya jam 12 masukkan lagi, tetapi saya tak buat. Aisya sudah tidur sejak jam 10 malam tetapi terjaga pada jam 11 malam terus menangis tanpa henti sehingga jam 3.30 pagi.
Bermacam-macam yang saya dan suami lakukan. Sapu minyak panas, urut kepala, usap dada Aisya dan bersilih ganti mendukung Aisya dan cuba menenangkannya tetapi gagal. Dah jam 2 pagi, saya suruh suami ambilkan buai, manalah tahu kalau berhasil. Tetapi bila saya baru nak henjut, buaian pula patah dan Aisya jatuh ke lantai.
Saya dan suami terdiam. Aisya terus menangis-nangis. Suami baca surah di telinga, Aisya berhenti menangis tetapi ditenungnya mata suami dalam-dalam. Pasang surah ruqyah, Aisya meronta-ronta seperti terkena panas dan menangis sekuat hati sehingga kaki, tangan dan muka naik biru. Badan nak kejang. Saya pangku Aisya cakap dengan suami nak buat apa lagi?
Suami kata, ada 'benda' yang menganggu, lalu suami terus azan dan baca segala surah-surah di telinga Aisya. Akhirnya jam 3.30 pagi, Aisya tidur dalam keadaan yang tidak lena. Kejap-kejap dia terjaga.
Jam 5 pagi, Aisya bangun lagi. Masa itu saya dah tak tahan dan memangku Aisya sambil menangis. Selepas subuh, Aisya tertidur semula sampai ke pagi.
Bangun pagi, Aisya sambung menangis sampailah ke petang semalam Aisya dah tegak mata, badan dah lembik. Saya call suami suruh balik sebab anak dah teruk. Selepas call suami, ayah pun yang call. Seboleh-bolehnya saya memang tak mahu merisaukan ayah dan mak. Namun ayah dengar saya menangis teresak-esak , terus ayah kata nak datang. Saya pesan pada adik, jangan bagi ayah datang sebab nanti saya akan risaukan mak dan ayah pula.
Suami balik selepas waktu Asar. Kami bersiap-siap dan bawa Aisya ke rumah ayah kawannya. Pakcik itu pegang Aisya sambil baca ayat-ayat suci Al-Quran. Aisya menjerit-jerit. Selepas itu, dia beri Aisya minum air dan sapu seluruh muka serta badan.
"Ada benda menumpang Aisya dah dekat seminggu. Itu yang membuatkan dia menangis dan takut," katanya,
"Kalau dia menangis semula, macam mana?" soal kami.
"Jangan risau, inshaAllah dia dah minum air ini, nanti balik bagi dia minum dan sapu-sapu badannya. Nanti dia akan sendawa. Selepas sendawa, dia akan kentut dan akhir sekali dia akan berak atau muntah. Kalau semua (simptom) itu ada, bermaksud 'benda' itu sudah keluar," jelas pakcik itu.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, saya pekakan telinga kalau Aisya ada sendawa. Tetapi tiada. Aisya pun tidur lena sangat-sangat. Sampai di rumah, saya angkat Aisya dan baru terdengar dia sendawa. Saya dukung dan bawa masuk dalam bilik, baru terdengar bunyi Aisya terkentut dan akhirnya terberak.
Alhamdulillah, Aisya tidak menangis lagi dan sudah boleh bermain seperti biasa, gelak dan bermain bersama abangnya. Saya punyalah takut sampai setiap jam bangun tengok Aisya. Namun dia tidur dengan lena. Bila bangun pagi, Aisya juga okay, tiada lagi tangisan. Lega hati saya.
Moralnya di sini, kalau anda terjumpa binatang pada malam-malam hari, tak perlulah bawa anak-anak pergi tengok. Apa yang berlaku ini benar-benar memberi pengajaran kepada saya dan suami. Bayangkan anak kecil baru nak masuk setahun tetapi tenaganya mengalahkan kita.
Terima kasih kepada semua yang call, WhatsApp, mesej, komen di Facebook mendoakan anak saya. Berkat doa anda semua dan ikhtiar, Aisya sudah sihat sepenuhnya. Tiada lagi gangguan makhluk halis dan tiada lagi demam malam.
Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas budi baik anda semua. Terima kasih sekali lagi. - Puan Amy | The Reporter
EmoticonEmoticon