Saturday, 12 November 2016

Tak Tahan Dengar Tangisan, Bapa Tusuk Jari Dalam Kerongkong Bayi 6 Minggu

Tags


WENTZVILLE, AMERIKA SYARIKAT - Seorang bayi lelaki berusia 6 minggu dikejarkan ke hospital dengan beberapa kecederaan kritikal selepas didera oleh bapanya, lapor Fox 2 Now. 

Bapa mangsa, Robert Burnette, tidak dapat menahan sabar mendengar tangisan bayi itu lalu menusuk jarinya ke dalam kerongkong mangsa, dipercayai cuba mencapai peti suara mangsa agar si kecil itu berhenti menangis. 

Penyiasat berkata, perkara itu didedahkan oleh ibu mangsa, Megan Hendricks, yang pada ketika kejadian itu berlaku dia hanya berdiri dan melihat tindakan suaminya tanpa melakukan apa-apa untuk menghalang lelaki itu. Serangan terhadap mangsa itu juga turut disaksikan oleh seorang rakan serumah mereka, namun tidak berbuat apa-apa.

Berdasarkan rekod mahkamah, dalam kejadian di pangsapuri kediaman pasangan berkenaan, Burnette juga turut melemparkan mangsa ke atas katil dan mengoncang mangsa dengan ganas sebelum mengangkat mangsa dari belakang lehernya.

Ketika disoal siasat, Hendricks memberitahu dia ternampak suaminya mendera anaknya sebanyak tiga kali termasuk mengoncang dan menusuk jarinya dalam kerongkong mangsa sedangkan mereka tahu akan bahayanya tindakan itu. Malah, Hendricks mengaku telah menipu doktor perubatan bagaimana mangsa boleh mengalami kecederaan kritikal seperti itu. 


Hendricks langsung tidak menunjukkan sebarang emosi dan kerap merujuk mangsa sebagai 'budak itu' atau 'bayi itu' berbanding menyebut bayinya sendiri. Malah Hendricks juga didapati berpura-pura menangis, namun berhenti sebaik saja pengawai penyiasat keluar dari bilik. 

Hendricks mengakui dia tahu anak kecil itu dalam bahaya dan pernah membawa mangsa ke rumah ibu bapa yang berada tidak jauh dari kediaman mereka. Namun, tidak pernah mengadu tentang perkara itu apatah lagi meminta bantuan dari ibu bapanya kerana dia tidak mahu berdepan dengan Burnette. Hendricks sanggup tinggal bersama lelaki itu dari merisikokan ayahnya mengambil tindakan terhadap suaminya. 

Bayi lelaki yang hanya dikenali sebagai J.B, dimasukkan ke hospital Cardinal Glennon Children's Hospital dengan beberapa kecederaan kritikal termasuk patah tulang tangan, pendarahan dalam otak dan radang hati. Pemeriksaan terperinci mendapati, terdapat kesan patah lama di bahagian tulang bahu dan beberapa kesan retakan di tulang rusuk mangsa. 

Penderaan terhadap mangsa dipercayai berlaku dalam tempoh 10 Oktober hingga 7 November di kediaman mereka. 

Doktor menjangkakan dengan kecederaan yang dialami, mangsa mungkin tidak mempunyai harapan untuk terus hidup. Jika sebaliknya, mungkin mangsa akan mempunyai kecacatan fizikal dan masalah mental yang teruk. 

Menurut pihak berkuasa, Burnette juga mempunyai sejarah berkelakuan ganas. Laporan polis berkata Burnette pernah mahu membunuh adik beradiknya sendiri beberapa tahun yang lalu. Malah Burnette pernah dimasukkan ke institusi kesihatan mental kerana masalah amarahnya. 

Kedua-dua ibu bapa telah didakwa melakukan penderaan, pengabaian dan menyebabkan kecederaan emosi atau fizikal yang sangat serius pada mangsa. Perbicaraan terhadap Burnette dan Hendricks akan disambung semula pada 15 November ini. - The Reporter


EmoticonEmoticon